Amalkan sedekah sebagai hadiah, Mila Jirin ajak pengikutnya bantu peniaga tepi jalan

BERGELAR seorang usahawan membuatkan penyanyi Mila Jirin sering memberi nasihat kepada pengikut-pengikutnya untuk selalu membantu peniaga-peniaga kecil.

Mila atau nama sebenar Norsyarmilla Jirin, 33, berkata, apa yang sering diamalkan ialah memberi lebihan bayaran sebagai hadiah kepada peniaga-peniaga yang menjual di tepi jalan.

“Lepas makan di sebuah restoran, saya tengok ada kakak ni berniaga rojak buah siap letak udang kering Thailand.

“Sebab teruja melihat kuah rojak hitam pekat melekat tu, saya minta kakak tu letak lebih sikit.

Mila merupakan pemilik syarikat perancang perkahwinan iaitu Bizmilla.

“Saya beli dua bungkus, ditanya harga berapa, kakak tu cakap sebungkus RM5… saya tanya kuah ekstra tu tak kira ke? Kakak tu geleng kepala tanda tak perlu.

“Duit RM20 yang saya pegang saya bagi pada kakak ni dan suruh dia simpan lagi RM10 tapi dia menolak.

“Saya cakap RM10 yang lebih tu saya bagi sebagai hadiah… terus kakak ni tak menolak lagi,” ujarnya.

Tambah pemilik syarikat perancang perkahwinan Bizmilla ini, pemberian yang sedikit itu mampu membantu peniaga-peniaga tersebut selain memberi kebahagiaan kepada satu sama lain.

Mila berpendapat membantu usahawan kecil dapat memberi kebahagiaan buat mereka.

Katanya lagi, perkara itu perlu diterapkan dalam diri setiap usahawan untuk mereka menjadi seseorang yang berjaya.

“Sahabat sekalian, kita sebagai usahawan jika nak berjaya jangan lokek bantu usahawan kecil. Bila beli di kedai tepi jalan, sentiasa ajar diri untuk bagi lebih sikit pada mereka dan sentiasa sebut sebagai hadiah.

“Niat dalam hati, semoga dapat hadirkan sedikit kegembiraan buat si penjual tadi. Janganlah cakap sedekah nanti mereka segan nak ambil.

“Jadi lepas ni, kita lebih-lebihkan duit kecil dalam beg atau poket untuk kita sama-sama beri bahagia dan nikmati kebahagian. Banyak memberi, ubat hati jadi bahagia,” jelasnya.

Sumber: mStar

Harap Maaf