Anda suka makan pedas? Kajian dapati cili dapat membantu panjangkan umur manusia

CILI ternyata bukan sahaja dimakan untuk menambah sensasi pada makanan, malah sebuah kajian mendapati ia juga rahsia kepada panjang umur.

The American Heart Association (AHA) dalam satu kajian yang dibentangkan di Virtual Scientific Sessions 2020 mendapati cili mengandungi sifat anti-inflamasi, antioksidan, antikanser dan mampu menstabilkan kandungan gula dalam darah.

Faktor-faktor ini berperanan dalam mengurangkan risiko seseorang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular atau kanser.

Dalam kajian tersebut, penyelidik menganalisa 4,728 kajian berkaitan cili dan penyakit yang disebut di atas. Lebih daripada 570,000 catatan kesihatan turut dimasukkan dalam kajian ini, termasuk daripada Amerika, China, Itali dan Iran.

Cili dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.

Responden yang makan cili secara tetap mengalami penurunan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular sebanyak 26 peratus manakala 23 peratus akibat kanser dan 25 peratus bagi penyebab kematian yang lain.

“Kami terkejut bahawa dalam kajian tersebut, makan cili dikaitkan dengan pengurangan risiko secara keseluruhan daripada semua penyebab penyakit kardiovaskular dan barah,” kata Bo Xu salah seorang penulis laporan kajian itu seperti dilaporkan New York Post.

Meskipun terdapat data menunjukkan bahawa makan cili mampu menurunkan risiko kematian akibat penyakit tersebut namun pelbagai kajian lain perlu dilakukan bagi menguatkan lagi hasil penyelidikan itu.

Ini termasuklah jenis cili, jumlah pengambilan serta faktor individu dan kesan sampingan lain bagi melengkapkan kajian itu.

Sumber: NYP

Harap Maaf