Setiausaha Agung bagi Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, sebuah platform e-bazar Ramadan akan dibangunkan bagi memberi peluang kepada ahlinya berniaga dalam talian susulan pembatalan bazar Ramadan sedia ada disebabkan COVID-19.
Walaupun inisiatif itu mempunyai rangkaian dengan syarikat logistik yang masih diperingkat awal, namun ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peniaga bazar yang tampil untuk menyertai platform tersebut.
“Melalui platform ini, kita akan wujudkan rangkaian penghantaran dalam kalangan ahli juga untuk mengurangkan kos. Sehingga kini, permintaannya tinggi dan kita laksanakan dulu di Wilayah Persekutuan.
“Bagi pelaksanaan di luar Wilayah Persekutuan, ia akan dipantau oleh persatuan di negeri masing-masing bagi memastikan kejayaannya,” katanya kepada BH Online.
Tambah beliau, secara keseluruhan lebih 100,000 peniaga bazar di seluruh negara terjejas ekoran wabak COVID-19 kerana mereka tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa dan dianggarkan kerugian kira-kira RM50 juta.
“Di Kuala Lumpur sahaja, ada kira-kira 10,000 peniaga terkesan membabitkan peniaga bazar iftar yang menjual makanan dan bazar ria yang menjual kelengkapan Hari Raya,” katanya.
Sementara itu, tinjaun di Instagram dan Facebook mendapati lebih enam kawasan khususnya di Pulau Pinang sudah mengambil langkah proaktif dengan mencipta akaun kumpulan sendiri antaranya, Bazar Ramadhan Online Permatang Pauh, Bazar Ramadhan Online Alma, Bazar Ramadhan Online Kepala Batas, Bazar Ramadhan Online Bayan Baru, Bazar Ramadhan Online Bayan Lepas dan Bazar Ramadhan Online Teluk Kumbar.
Terdahulu, Dr Noor Hisham pada isnin lalu dilaporkan berkata, keputusan sama ada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga bulan puasa hanya dapat diputuskan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti trend atau situasi semasa kes COVID-19 iaitu selepas minggu pertama April.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Sumber : Cari