Guna foto kepala Awie tapi badan orang lain demi lariskan produk

SELEPAS beberapa kes foto selebriti digunakan tanpa kebenaran bagi tujuan promosi, kini isu sama terpaksa dilalui penyanyi Datuk Awie apabila dia dikaitkan dengan satu produk minuman kesihatan.

Lebih mengecewakan apabila wajahnya disunting dan diletakkan pada gambar individu lain yang dilihat sedang memegang produk berkenaan.

Menyedari popularitinya dipergunakan, Awie menegaskan dia tidak teragak-agak untuk meneruskan proses perundangan terhadap pengeluar produk terbabit.

“Saya baru tahu sejak sebulan lalu, gambar saya telah disalah guna yang mana ia disebarkan oleh pengguna media sosial yang saya percaya adalah agen kepada syarikat tersebut.

“Foto itu disebarkan kononnya saya mengamalkan produk tersebut padahal saya memang saya tidak tahu menahu langsung mengenai kewujudan produk itu.

“Jadi, saya tampil untuk berikan kenyataan bahawa gambar saya telah disalah guna untuk tujuan promosi produk tersebut tanpa mendapat keizinan daripada pihak saya,” kata Awie kepada mStar pada Rabu.

Foto yang telah disunting dengan menggunakan muka Awie.

Sementara itu peguam yang mewakili Awie, Adnan Seman daripada Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bertarikh 6 Januari lalu kepada syarikat berkenaan.

Dalam surat itu, pihaknya menuntut syarikat berkenaan menurunkan gambar Awie yang disalahgunakan oleh agen mereka.

Namun menurut Adnan jawapan balas yang diterima adalah sangat mengecewakan apabila syarikat itu menafikan perkara tersebut.

Foto itu disebarkan kononnya saya mengamalkan produk tersebut padahal saya memang saya tidak tahu menahu langsung mengenai kewujudan produk itu.

DATUK AWIE

PENYANYI

“Pihak kami sudah pun menghantar surat tuntutan bertarikh 6 Januari lalu dan menerusi surat balas bertarikh 13 Januari, mereka menafikan menggunakan gambar Awie untuk tujuan promosi.

“Tapi kalau kita tengok di Facebook dan Instagram memang jelas muka Awie ada di situ. Memang ramai agen mereka menggunakan gambar itu seolah-olah menunjukkan Awie menggunakan produk tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan menggunakan gambar seseorang individu itu untuk tujuan perniagaan tanpa mendapat sebarang kebenaran,” katanya.

Jelas Adnan, pengeluar produk berkenaan bakal berdepan tindakan saman sekiranya masih berdegil.

“Sekiranya pihak mereka masih berdegil, selaku peguam, kami akan menasihatkan kepada Awie untuk meneruskan ke peringkat saman,” katanya.

Sementara itu tambah Awie, tujuannya membawa perkara ini ke pengetahuan umum bukanlah untuk tindakan saman semata-mata sebaliknya dia mahu memberi kesedaran kepada syarikat yang terlibat agar lebih bertanggungjawab dengan penipuan yang telah dilakukan mereka.

“Ganti rugi bukanlah perkara pokok untuk saya bawa perkara ini ke pengetahuan umum. Sebaliknya, saya tak nak orang di luar sana tertipu.

“Sebab ada dalam kalangan mereka tengok selebriti beli, jadi mereka pun beli, padahal artis itu tidak tahu menahu langsung fasal produk tersebut,” katanya.

Sumber: mStar

Harap Maaf