Lebih 20 Tahun Tak Pernah Solat, Masjid Sebelah Rumah Pun Tak Nampak

Anggota kumpulan One Nation Emcees, Jojo mendedahkan pernah terleka dengan nikmat dunia hingga mengabaikan solat selama lebih 20 tahun.

Kata Jojo atau nama sebenarnya Nur Hasan Balas, 44, kali terakhir dia mendirikan solat ketika di bangku sekolah.

“Saya jahil tentang agama, banyak tuntutan yang saya tinggal dan lebih mengejar duniawi.

“Saya tak pernah solat sebelum ini, kali terakhir pun solat Jumaat ketika bersekolah, kemudian apabila mula bekerja saya tinggal terus.

“Bayangkan masjid sebelah rumah pun tak nampak. Betapa gelapnya hati saya ketika itu…

“Tetapi lebih kurang tiga tahun lalu, Allah beri saya hidayah. Nak kejar dunia perlu ada agama. Saya terfikir, apa rasa orang yang bersolat? Kata orang solat itu nikmat. Jadi saya nak rasa,” kongsi Jojo kepada Gempak.

Tiada guru untuk membimbing Jojo, yang ada hanyalah carian Google tentang cara untuk menunaikan solat dan waktu Subuh.

“Saya berjaga malam tak tidur sebelum nak mula mendirikan solat Subuh. Saya ke surau, tunggu jemaah masjid datang dan belajar.

“Kemudian saya cuba istiqamah solat Subuh selama dua minggu tanpa henti. Lepas tu belajar solat Isyak dan Maghrib.

“Allah beri ilham untuk rasa seronok dan alang-alang itu saya terus buat solat lima waktu.

“Ketika itu walau duit dalam poket ada RM5 saja, hati rasa tenang dan bahagia. Inilah sebenarnya yang saya cari,” ceritanya.

Bertitik tolak daripada mimpi sebenarnya, kata Jojo peristiwa dalam mimpi sejak darjah enam mencetuskan semula hijrahnya.

“Ada seorang lelaki mula bercahaya putih memperkenalkan namanya Muhammad. Saya tak nampak muka dia tetapi dia bawa saya ke perigi dan beri saya minum.

“Selepas itu dia hadiahkan saya bunga. Ketika itu saya dapat membaca Al-Quran dengan begitu lancar!

“Saya kemudiannya berjalan ke arah satu pintu yang apabila dibuka ada kawasan langit yang luas. Di situ ramai lelaki berjubah putih mengajak saya mendirikan solat bersama-sama dalam satu saf,” katanya yang pernah menceritakan mimpinya kepada arwah ibunya suatu masa dahulu.

Jojo kini masih aktif menyertai aktiviti dakwah bersama rakan artis dan belajar beristiqamah dalam ibadah.

Sumber: Gempak

Harap Maaf