“Walaupun sebak saya lepaskan dengan rela hati!” – Liza Abdullah dapat menantu pertama, terkiIan tak dapat jemput ramai tetamu

PELAKON Liza Abdullah menarik nafas lega apabila majlis pernikahan dan perkahwinan anak perempuannya, Nurwafiez Syahiddah, 27, berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Meskipun gembira menerima menantu pertama, Liza atau nama sebenar Norliza Abdullah, 57, berkata dia turut terkilan dan kecewa kerana tidak dapat mengundang ramai kenalan ke majlis berkenaan.

“Alhamdulillah, majlis perkahwinan satu-satunya anak perempuan saya berjalan lancar mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan… ini pertama kali saya menerima menantu semestinya perasaan sangat teruja dan gembira.

“Selepas bernikah di masjid, kita adakan kenduri di rumah sepupu saya yang berlangsung dalam suasana penuh sederhana memandangkan kita masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Cumanya saya sedikit terkilan sebab tak dapat nak jemput ramai kenalan ke majlis ini… minta maaf sangat-sangat! Kita pun tak sangka situasi jadi begini kerana ikutkan perancangan awal sudah tempah dewan nak jemput ramai tetamu,” katanya kepada mStar.

Nurwafiez sebak ketika menyampaikan ucapan untuk ibunya.

Nurwafiez yang pernah menceburi bidang pengacaraan dan lakonan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya berasal dari Kota Bharu, Kelantan dikenali Shahidan, 30, pada Jumaat.

Menerusi Instagram, Liza ada berkongsi kemeriahan majlis pernikahan dan perkahwinan anaknya yang diadakan di Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Saya mohon orang ramai mendoakan kebahagiaan anak saya dan kami sekeluarga… pertama kali terima menantu walaupun sebak tapi saya lepaskan anak dengan rela hati.

LIZA ABDULLAH

PELAKON

Sementara itu, pelakon yang memegang watak Mak Leha dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini turut mengucapkan rasa syukur kerana segala persiapan majlis tersebut dilakukan dengan bantuan keluarga bekas suami.

“Walaupun buat kecil-kecil sahaja tapi keluarga bekas suami antaranya adik ipar banyak membantu merealisasikan majlis ini.

“InsyaAllah, kalau ada rezeki kami rancang nak buat majlis resepsi pada bulan Februari tahun depan dan semasa itu saya akan jemput semua kenalan untuk hadir.

Majlis diadakan mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Saya mohon orang ramai mendoakan kebahagiaan anak saya dan kami sekeluarga… pertama kali terima menantu walaupun sebak tapi saya lepaskan anak dengan rela hati,” ujarnya.

Liza pernah berkahwin dengan Zolkifli Abdul Rahman dan bercerai pada 24 Februari 2014.

Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata termasuk Zulhaffiz Zarriq, 31, Zulsyahmi Naqib, 19, dan Zulsyahmi Afif, 16.

Sumber: Mstar via RentasAsia

Harap Maaf