Mohon Maaf Pada Kakak Ipar, Ali Puteh Sedia Undur Diri Dari Dunia Seni

Disebabkan kemelut antara isteri Allahyarham Abam dan adik iparnya, Ali Puteh, rata-rata rakyat Malaysia tidak putus-putus mendapatkan kemas kini mengenai kes ini.

Petang semalam telah berlangsung sidang media yang diadakan Ali bagi menjelaskan segala kontroversi berhubung tuduhan dia mahu membolot harta peninggalan abangnya yang baru seminggu meninggal dunia.

Kontroversi ini bermula apabila Ali telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada kakak iparnya, Hidayah menerusi Instagramnya, baru-baru ini. Pelawak itu kemudian telah membuat permohonan maaf kepada isteri arwah abangnya.

“Saya memohon maaf kepada kakak ipar saya kerana terlalu mengikut rasa amarah ketika menulis status tersebut di Instagram (IG) saya sebelum ini.

“Saya tidak malu mengaku bersalah kerana, ya memang saya yang tulis bukan orang hacked IG saya. Saya memadam posting tersebut selepas ramai yang menelefon dan menasihati saya supaya tidak bertindak melulu.

“Saya terima kesan akibat perbuatan saya itu dengan pelbagai tohman dilemparkan termasuk fitnah. Namun, saya tidak simpan di dalam hati dan memaafkan mereka, katanya kepada Astro Gempak.

Ali memberitahu dia akan bertemu dengan Hidayah dalam masa terdekat dan menyelesaikan segala permasalahan sesama keluarga mereka. Dalam pada itu, Ali berkata dia juga bersedia untuk undur dari dunia seni sekiranya rezeki terhenti setakat ini sahaja disebabkan oleh kontroversi tersebut.

“Saya sedia berundur dari dunia seni dan pentas lawak sekiranya tidak diperlukan lagi. Andai rezeki saya terhenti di sini, disebabkan kontroversi ini saya reda. Saya berserah kepada Allah SWT.

“Saya akan fokus menjaga ibu. Lagipun kehadiran saya dalam dunia seni ini bersama arwah Abam. Apalah maknanya tanpa dia di sini bersama saya, katanya lagi.

Sumber: Gempak

Harap Maaf