Nasihat WHO Boleh Cetus Panik Dalam Kalangan Rakyat Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bimbang dengan nasihat Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi rantau Asia Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai agar Malaysia bersedia menghadapi kemungkinan penularan wabak Covid-19 yang lebih luas akan menyebabkan rakyat menjadi panik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penilaian pihaknya mendapati situasi jangkitan Covid-19 yang sebelum ini dikenali sebagai koronavirus baharu adalah terkawal.

Katanya, situasi kini adalah pada tahap pembendungan awal dan Kementerian Kesihatan bersedia mengadapi fasa berikutnya iaitu tahap pembendungan akhir dan tahap mitigasi.

“Sehingga hari ini, masih lagi seluruh episod jangkitan kluster ini sedang ditangani KKM dan kita belum tiba masa menyerahkan baton (tanggungjawab) mengambil sikap serahkan kepada PM (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Kalaulah kita buat pengisytiharan sebagai krisis, nasihat WHO itu akan diletakkan pada perspektif sebetulnya,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette pada 12 Februari.
Walau bagaimanapun, Dr Dzulkefly menghargai nasihat yang diberikan Dr Takeshi itu.


Kredit foto: Facebook Kementerian Kesihatan

Dr Dzulkefly menambah, setakat ini, KKM mempunyai 18 makmal awam yang menjalankan ujian pengesanan jangkitan Covid-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 makmal beroperasi di hospital kerajaan selain sebuah makmal kesihatan awam kebangsaan di Sungai Buloh, Selangor, empat makmal kesihatan awam di Perak, Johor, Kelantan dan Sabah serta sebuah Institut Penyelidikan Perubatan.

Selain itu, lima makmal di bawah pengurusan pihak swasta dilatih untuk melakukan ujian pengesanan virus tersebut.

“Setakat ini, sebanyak 550 ujian pengesanan Covid-19 telah dijalankan ke atas pesakit yang bergejala dan juga kontak rapat. Hanya 18 pesakit daripada jumlah itu disahkan positif jangkitan Covid-19,” jelasnya,


Kredit foto: Facebook Kementerian Kesihatan

WHO juga telah mengumumkan Covid-19 sebagai ‘musuh awam nombor 1’ dan dianggap menimbulkan ancaman lebih serius berbanding serangan pengganas.

Sumber: Malaysia Gazette

Harap Maaf