Upah Penyembelih dan Petugas Qurban

Daripada Ali RA ia berkata; “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan qurban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan qurban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.” (Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang qurban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

2. Memberi daging qurban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

3. Imam an-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

4. Telah sepakat al-Imam al-Syafie dan tokoh-tokoh bermazhab Syafie bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Sama ada ia qurban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

5. Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian qurban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

6. Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

7. Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Justeru itu, diingatkan kepada para petugas qurban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan qurban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berqurban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

Oleh itu marilah kita bersikap RAHMAH sebagai petugas, penyembelih juga pelapah dalam melaksanakan ibadah qurban.

Harap Maaf